PERMUAFAKATAN KELUARGA HASHIMARBAIN (PEKA)

PERMUAFAKATAN KELUARGA HASHIMARBAIN (PEKA)
Haji Hashim Kulup Ismail (Ayahanda) Hajah Arbaayah Yeop Majlis (Bonda). Anak-Anak: Abdul Rahman, Hashimah, Abdul Mutalib, Salim, Mastina, Hamdan, Syuaib, Sufini, Haryati, Suriyani, Ahmad Farid, Nurhanim, Ahmad Syukri & Mohd. Najib

Tuesday, December 16, 2008

Minat politik masing-masing....biarlah mendapat keredhaan Allah.

Politik ialah kuasa. Bercakap politik bermakna kita menjuruskan daya fikir ke arah menjadikan kehidupan manusia di muka bumi terpimpin secara berhemah serta mampu menyelesaikan masalah duniawi yang serba serbi mencabar.
Barang diingat jua, jangan terlalu ghairah dengan nafsu serakah politik yang tidak mengenal batas 'ubudiah sehingga kita melupakan tanggungjawab sebenar sebagai 'khalifah', dan yang pastinya semua manusia tidak akan kekal hidup di atas muka bumi ini. Biar harta bertimbun, namun harta dunia tidak juga mengiringi kita ke liang lahad.
Bersederhanalah kita menjulang kehidupan duniawi ini, kerana akhirannya ialah kita akan berkampung jua di akhirat. Namun begitu jangan kita biarkan kehidupan di alam fana ini sehingga kita menderita tanpa menikmati kemakmuran sejagat. Biarlah anak-anak kita dapat mensyukuri pemberian nikmat di dunia ini, kerana Tuhan akan menambahkan rezeki kita jika kita bersyukur dengannya.
Jangan kita cemburui jika ada yang pakai baju UMNO/BN. Begitu juga jangan kita menghina jika ada yang jatuh hati dengan PKR/PAS. Yang pastinya ialah, parti-parti politik itu hanyalah jenama perjuangan ciptaan manusia yang dijadikan alat untuk membentuk fikrah manusia untuk menjalankan amanah memimpin umat di atas muka bumi ini.
Tidak ada jaminan di dalam nas naqli yang menyebut jenama parti tertentu yang terdapat di Malaysia ini sebagai pra syarat dan kelayakan untuk jalan ke syurga. Akhlak manusia yang memimpin sesebuah parti itulah yang akan menentukan hala tuju perjuangan samada dikemudinya secara munkar ataupun secara yang makruf. Tuhan yang layak untuk menilai amalan kita di dunia ini sehingga kita dilarang untuk bersengketa sesama sendiri.
Sengketa boleh merosakkan asas perjuangan di dunia, kerana kita telah engkar dengan perintah Tuhan yang menyeru kita supaya sentiasa berbaik sangka sesama manusia. Janganlah kita taksub dengan lambang kepartian dunia ini, kerana Rasulullah pun tak pernah sebut jika nak masuk syurga seseorang itu mesti isi borang keahlian parti itu atau parti ini. Yang dia sabda ialah berbuat baiklah kamu di muka bumi Allah ini dengan perbuatan yang makruf dan menghindari yang mungkar.
Apa jua parti yang berbuat jahat akan menerima balasannya. Begitu juga apa jua parti yang berbuat baik di muka bumi ini akan mendapat ganjaran setimpal. Jika terdapat mana-mana parti yang mendakwa sebagai 'Waris Nabi' sebenarnya dia telah berdusta dengan dirinya sendiri. Oleh yang demikian berpolitiklah secara berhemah untuk mendapatkan keredhaan Allah jua. Insya Allah.
- Abdul Rahman Hashim.

No comments:

Related Posts with Thumbnails